Monday, July 6, 2009

Muhasabah: Islam untuk semua

Islam untuk semua adalah ungkapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di dalam ucapannya mengimbas kembali kedatangan Islam ke Tanah Melayu. Beliau menjelaskan bahawa orang Cina terlebih dahulu kenal dengan agama Islam kerana agama Islam telah datang ke negara China lebih awal sebelum datang ke Tanah Melayu.

Beliau juga menekankan bahawa agama Islam ini adalah untuk semua golongan dan kaum tanpa batasan sama ada kaum Melayu, Cina mahupun India. Ia adalah ucapan dalam satu majlis meraikan ahli-ahli Kelab Penyokong PAS pada Muktamar ke-55 awal Jun lalu di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Setiap ahli PAS perlu melihat ucapan Tuan Guru itu sebagai positif, kerana dewasa ini golongan bukan Islam sudah menampakkan minat dan kecenderungan kepada Islam sebagai satu agama yang benar-benar menjanjikan keadilan sejagat tanpa mengira batasan kaum, keturunan atau pegangan agama.

Dan memang menjadi tugas setiap ahli PAS khususnya, menjalankan kerja-kerja dakwah untuk memahamkan semua pihak dalam negara ini agar dapat menerima Islam sebagai cara hidup yang sempurna.

Usaha ke arah memecah tradisi bahawa Islam adalah agama orang Melayu perlu dilipat-gandakan dengan bersungguh-sungguh, kerana inilah kesempatan yang terbaik apabila golongan bukan Islam sudah mula menerima ceramah-ceramah, malah turut menadah tangan untuk berdoa agar Allah menurunkan keselamatan.

Apa yang perlu difahamkan kepada golongan bukan Islam terlebih dahulu, bahawa Islam bukanlah agama untuk orang-orang Arab walaupun al-Quran atau hadis baginda Rasulullah dalam bahasa itu.

Islam juga bukan juga untuk orang Melayu, kerana Islam milik Allah dan Dia yang mencipta semua jenis bangsa manusia dan undang-undang yang sesuai dengan mereka.

Ahli PAS di semua peringkat adalah disaran supaya memelihara beberapa pendekatan dan asas perpincangan agar tidak mengguris mana-mana pihak. Ia perlu dilakukan dengan penuh hikmah iaitu bercakap mengikut tahap kefahaman golongan sasaran, nasihat yang baik yang menjadikan pendengar suka dan mengikutinya dengan baik serta perbahasan yang diselaputi dengan penghujahan yang konkrit dan padat.

Di samping itu juga perlu memelihara faktor-faktor berikut:

1. Membezakan Islam dan orang Islam (Muslimun) Memperkenalkan Islam kepada bukan Islam iaitu ia adalah agama Allah yang tidak menerima sebarang perubahan atau pindaan hingga berlakunya Kiamat.Adapun orang Islam tidak begitu, kerana mereka adalah manusia yang terdedah kepada sebarang perubahan,sekejap baik, sekejap jahat begitulah seterusnya, ada yang kuat berpegang dengan ajaran agama dan sebaliknya terdapat mereka yang longgar ikatan dan hubungan kepada Allah SWT.

2. Perlu banyak membaca bahan-bahan ilmiah dalam konteks dakwah

Ahli-ahli PAS yang terlibat dalam kerja-kerja dakwah, adalah diingatkan agar banyak membaca, mentelaah, meneliti bahan-bahan yang ada kaitan dengan aspek dakwah, iaitu memperkenalkan kepada golongan sasaran bahan-bahan asli tentang Islam, jauh daripada sebarang sifat tahayul, khurafat, bidah keterlaluan kerana akan memberi gambaran yang tidak baik dan akan mencetuskan impak yang besar kepada para petugas.

Perlu banyak baca bahan-bahan bacaan seperti 'Dasar-dasar Ilmu Dakwah' oleh Dr Abdul Karim Zaidan, 'Apa Ertinya Saya Menganut Islam?' oleh Dr Fathi Yakan, hasil tulisan Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Dr Abdullah Nasih Ulwan, Syeikh Muhammad al-Ghazali, karya-karya Tuan-tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, koleksi perdebatan antara Syeikh Ahmad Deedat dan para paderi Barat dan banyak lagi yang ada kaitan dengan aspek dakwah.

3. Perlu contohkan suri teladan yang baik hingga boleh menjadi ikon dalam dakwah

Apa yang dakwah untuk direalisasikan dalam kerja-kerja dakwah, iaitu cakap serupa bikin, dengan mengenengahkan suri teladan, budi bahasa, aspek akhlak yang jitu. Ia bukan sahaja diperlukan ketika bersama golongan sasaran, malah ia jadi amalan harian ketika berseorangan ataupun bersama orang lain, tidak merokok yang boleh memberikan gambaran buruk dan kesan kepada Islam, seolah-olah Islam membenarkan pembaziran. Justeru, apa yang perlu dilakukan ialah setiap tindakan yang positif terbit dari para pendakwah, ialah menjadi ikon kepada golongan sasaran yang mesti dimenanginya.

4. Bersikap menghormati dan memudahkan orang bukan Islam dalam urusan agama

Suka memaafkan golongan sasaran, menghormati mereka bukan hingga peringkat menyanjung secara keterlaluan, kerana ia pernah ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w. dalam satu hadisnya yang bermaksud: "Mudahkan urusan mereka dan jangan sekali-kali kamu sulitkannya, berilah berita gembira kepada mereka dan jangan lakukan sesuatu hingga menyebabkan mereka lari daripada kamu."

5. Saling bantu membantu sesama manusia

Iaitu kesanggupan ahli untuk bersedia memberi sebarang bantuan,ia bukan sekadar retorik dengan lidah yang tidak bertulang, akan tetapi dengan gerak kerja hingga ke peringkat mereka merasakan bahawa Islam tidak pernah melarang hubungan Muslim dengan 'non-Muslim', malah menjadi intim atas sebab-sebab kemanusiaan.

Inilah tindakan positif bagi merealisasikan sebaik-baik umat yang difirmankan Allah menerusi ayat 110 surah Ali Imran yang bermaksud:"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia,(kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya),tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka.(Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka, orang-orang yang fasik."

Ia juga tidak bercanggah dengan Ayat 2 Surah al-Maidah yang bermaksud:"Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan." Iaitu tolong menolong pada perkara yang baik selagi tidak menyalahi akidah dan iman seseorang Muslim kepada Allah SWT.

Moga-moga apa yang diketengahkan dapat menjadi panduan yang efektif, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan hubungan antara Islam dan bukan Islam, bukannya diasaskan atas dasar politik sempit semata-mata, malah dilakukan atas dasar iman dan takwa kepada Allah SWT yang mahukan agar semua manusia di muka bumi ini menjadi Islam iaitu berserah diri hanya kepada-Nya dalam suasana harmoni dan semangat setiakawan.

Jangan Kau Kaya...??

Jangan Miker kaye
Kalau miker kaye,
deme kata teman rasuah

Biorler miker miskin
Pape kedana melaghat
naik bas,sekupang duit dalam poket
isi minyok kereta
sepuluh ringgit cuma

Biorler miker sakit
peghit meghit terpekik bebenor
dalam batin berkocak,teghoyak(menangis)sewaktu
isteri terbaring sendiri
anak tidur kelaparan
yuran PASTI bulan lepaih belum
berbayor

Jangan Miker kaye
kalau miker kaye
ramei yang dengki

Atau tumpang sekaki
minta belanja secawan kopi
tolong bayor bil
atau belikan kayu api

Jangan Miker kaye
kalau miker kaye

Ramei lagi setengah mati
ater,nak jadi kaye
sampai mati tak kaya-kaya...
ituler ghopernyer...

Nukilan Yob4ever:-)
7 Julai 2009

Mauizah: Cemar hati hanya bersih dengan agama Allah SWT

Sesungguhnya Allah SWT perintah dengan wajib manusia supaya makan makanan yang toiyyib (halal). Dalam wahyu-Nya Tuhan letak dahulu larangan makan makanan yang tidak baik sebelum larangan bunuh manusia.

Seperti firman-Nya yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka antara kamu. Dan janganlah membunuh dirimu (membunuh diri dan orang lain); sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepadamu." (Surah An-Nisa ayat 29)

Terdapat dua hukum dalam satu ayat; Pertama larangan memakan harta dengan jalan tiada hak (batil). Tegahan kedua larangan membunuh sama ada membunuh diri atau membunuh individu lain.

Kedua-duanya larangan dalam perkara yang mungkar, tetapi Allah SWT letakkan larangan memakan harta dengan jalan yang tidak betul terlebih dahulu daripada larangan membunuh.

Susunan itu menunjukkan agama Islam mengutamakan masalah makan minum dengan cara diredai-Nya lebih dahulu daripada tegahan selainnya.

Sepaling jahat manusia itu tidak akan melakukan pembunuhan, kecuali mesti ada sebab alasannya. Pembunuhan dapat dikawal seandainya manusia dapat mengawal makan minum harta benda daripada penipuan dan pengkhianatan, pencurian serta rompakan.

Masalah harta menjadi kepentingan bersama dalam situasi terkawal itu, dengan sendirinya menutup punca krisis dan jenayah dalam masyarakat. Di sinilah kedudukan ajaran Islam itu adalah agama menyeluruh Allah SWT, tidak boleh di ambil hanya sebahagiannya dan mengabaikan selebihnya yang dianggap merugikan.

Wajib menerima sepenuhnya apa yang disuruh, meninggalkan apa jua yang diharamkan-Nya. Allah SWT letak dahulu larangan makan harta yang tidak baik daripada larangan membunuh, dengan tujuan membesarkan untuk menimbulkan rasa penting dan gerun di kalangan manusia dengannya.

Ini supaya mengutamakan rezeki yang halal selain memenuhi keperluan, ia juga untuk mendapat keberkatan daripada-Nya. Hanya Islam sahaja yang mempunyai ajaran 'berkat', ia ajaran agama yang mesti dijaga dan diawasi sepenuhnya. Ini supaya rezeki yang dimakan dan pakaian halal yang di pakai akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Harta di tangan manusia pada hakikatnya hak milik Allah SWT, justeru Dia mengingatkan manusia ditegah mengambilnya dengan cara yang batal. Harta kepunyaan orang lain boleh dimiliki hanya melalui cara yang diizinkn oleh syariat, iaitu dengan cara jual beli sesama reda atau sedekah.

Dikurniakan harta oleh Allah SWT kepada manusia sedangkan seluruh mereka menjadi anggota masyarakat, mereka mesti saling bekerjasama untuk mengambil manfaat daripada rezeki yang dikurniakan itu.

Sebagai anggota masyarakat mesti menjauhi tindakan ambil harta antara mereka dengan cara yang batal, pada hakikatnya mereka saling memerlukan antara satu sama lain.

Setiap daripada anggota masyarakat tidak upaya hidup sendirian, kerana semua keperluan hidup tidak dapat diadakan sendiri. Makan dan pakaian serta tempat tinggal saling bergantung dengan pihak lain.

Dengan adanya para petani di kalangan masyarakat, orang ramai dapat keperluan makanan terhindar daripada kebuluran. Dengan adanya para nelayan orang ramai dapat makan lauk ikan sebagai sumber protein.

Dengan wujudnya pengusaha pakaian orang ramai dapat menutup aurat, begitulah seterusnya dalam perkara penting lain yang diperlukan anggota masyarakat.

Apabila Allah SWT melarang melalui firman-Nya; "Jangan memakan harta sesama manusia dengan jalan batil, bererti mengajar orang beriman supaya hidup saling bekerjasama dan bersatu padu".

Inilah perpaduan sebenar yang diajar Allah SWT kepada manusia, ribuan tahun sebelum wujudnya kerajaan manusia dengan teori perpaduannya.

Begitulah kedudukan manusia sebagai anggota masyarakat, antara satu sama lain saling memerlukan mesti tali menali paut memaut.

Allah SWT melarang keras pembunuhan, kerana pada hakikatnya individu dibunuh itu ibarat dirinya sendiri. Dalam erti kata membunuh saudaranya sesama anggota masyarakat, yang saling memerlukan dalam kehidupan hariannya.

Kembali kepada persoalan makanan mesti dalam situasi halal, adapun mendapatkan makanan halal itu fardu daripada asas agama. Setiap sajian yang dihidang untuk diri dan keluarga, tentukan kehalalannya terlebih dahulu. Demikianlah yang dituntut oleh Islam.

Perkara adab kedua yang mesti dijaga sebelum makan ialah basuh tangan, juga tangan keluarga yang akan menikmati sajian itu. Basuh tangan sebelum makan bukannya adat resam atau budaya sesuatu bangsa, tetapi ajaran agama Islam.

Sekiranya waktu basuh tangan dengan niat menjunjung ajaran agama, semestinya tangan jadi bersih serta dapat pahala daripada Allah SWT pula. Allah SWT perintahkan basuh tangan sebelum makan, lantaran ia tidak sunyi daripada kekotoran sewaktu melakukan kegiatan harian di mana jua.

Membersihkan tangan dicuci dengan air, sementara pencemaran hati dibersihkan dengan ajaran agama Allah SWT.